Khamis, Januari 31, 2008

Program jihad ternak capai matlamat ditetap Kerajaan Negeri


PENGKALAN CHEPA, 31 Jan (Hrkh) – Program khas kerajaan negeri bagi meningkatkan pendapatan penduduk miskin melalui jihad ternak kini dianggap 80 peratus berjaya mencapai matlamatnya.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, kejayaan program yang julung kali diperkenalkan itu sudah mencapai tahap sehingga 80 peratus.

“Dengan perkembangan menarik ini, program jihad ternak telah mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri bagi tahun pertama,” katanya di majlis menandatangani perjanjian Program Jihad Ternak (Mantee) dan Seminar Pengemukan Kambing/Lembu, di Kompleks Purnama di sini, baru-baru ini.

ImageBeliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.15 juta bagi melaksanakan program tersebut, di mana setiap peserta diberi lima ekor kambing betina jenis jamnapari.

Pada majlis itu juga peserta jihad ternak (mantee) menandatangani perjanjian persetujuan untuk menerima pawahan lima ekor anak kambing.

Peserta juga menerima bantuan sebanyak RM500 untuk membina kandang kambing.

Sebelum itu peserta mengikuti pembentangan kertas kerja yang disampaikan penyelidik dari Institut Pertanian Bogor, Indonesia, Dr Winogroho dan penternak kambing jamnapari juga dari Indonesia, Akas Alamuddin.

Peserta diberi penerangan kaedah-kaedah yang betul untuk menternak kambing jamnapari. Seramai 200 peserta program jihad ternak mengikuti program sehari itu.

Setiap kambing jamnapari yang berasal dari Indonesia berharga RM1,000 hingga RM20,000. - mj