Rabu, Disember 24, 2008

Kelantan perkasa sektor pertanian sejak 1990 - MB

Tags

KOTA BHARU, 22 Dis (Akhbar Hrkh) - Kelantan akan memiliki sebuah kilang bagi memproses kelapa dara serta sebuah makmal untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan bidang pertanian.

Pembinaan kilang tersebut membabitkan kos sebanyak RM500,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasakan bidang pertanian yang menjadi keutamaan sejak 1990.

Katanya, perkembangan bioteknologi dalam sektor pertanian akan dapat meningkatkan jumlah hasil ketika penggunaan tanah semakin terhad sekarang.

"Kelantan berhasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai jelapang makanan negara sepenuhnya pada 2015. Dan ia memerlukan transformasi dalam sektor pertanian," katanya pada seminar bioteknologi di sini, semalam.

Perasmian program itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada majlis itu turut diadakan majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman antara Kelantan Biotech Corp. Sdn Bhd dan kerajaan negeri dengan Universiti Putra Malaysia (UPM)

Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof Dato Dr Nik Mustafa Raja Abdullah, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shkori Mohamed, Pengarah UPEN, Haji Azamli Jamaluddin dan ahli Lembaga Pengarah Biotech Corp Sdn Bhd, Haji Zulkifli Mamat.

Selain itu, Pengarah Institut Pusat Inovasi dan Pengkomesilan UPM, Prof Dato Dr Muhamed Shariff Muhamed Din dan Pengurus Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd, Zamakhshari Muhamed.

Sementara itu, Menteri Besar berharap rakyat Kelantan mengambil peluang sepenuhnya dengan memanfaatkan potensi besar bidang bioteknologi.

Menurutnya Kelantan mengekalkan status sebagai negeri pertanian sejak awal lagi biar pun negeri lain memberi tumpuan kepada bidang perindustrian.

Bagaimanapun katanya, selepas berlaku krisis makanan di seluruh dunia, barulah banyak pihak termasuk kerajaan Malaysia memberi tumpuan utama kepada sektor pertanian.

"Kerjasama amat diperlukan dari mereka yang pakar dalam bidang bioteknologi bagi menjadikan Kelantan berjaya dalam bidang pertanian," ujar beliau.

Pembentangan kertas kerja pada seminar itu disampaikan Dekan Falkuti Agro Industri dan Sumber Asli UPM, Prof Dr Ibrahim Che Omar, Prof Dr Mohd Razi Ismail (UPM), Dr Maziah Mahmood (UPM) dan Pegawai Veterinar Kanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Abdul Halim Mohamad. - mj _

Selasa, Disember 23, 2008

Pembangunan Sektor Baru Di Kelantan 2008

Tags
Berikut adalah peluang kerja, niaga dan sektor-sektor baru yang akan diceburi oleh anak-anak syarikat Negeri Kelantan sekarang. Terutamanya dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)

PMBK Secara Am

PMBK merupakan sebuah agensi kerajaan negeri yang diperbadankan dibawah enakmen PMBK 1950. Iaiya diletakkan dibawah arahan YAB Menteri Besar Kelantan. Secara ringkasnya, peranan PMBK yang termaktub dalam enakmen ini adalah untuk melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial serta turut terlibat dalam aktiviti kebajikan rakyat. Pada masa yang sama PMBK merupakan sebuah organisasi besar yang ingin menterjemahkan tindakannya selari dengan dasar pentadbiran kerajaan Negeri iaitu Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan. Perkara ini penting kerana kakitangan PMBK perlu menjiwai fikrah dan hala tuju kerajaan dalam melaksanakan tugas seharian selaras dengan dasar ”Membangun Bersama Islam”.

Buat masa sekarang PMBK mempunyai 5 anak syarikat yang aktif serta melibatkan berberapa bidang utama seperti hartanah, perladangan, infrastruktur & utiliti, bioteknologi, pendidikan dan kebajikan. Syarikat yang dimaksudkan ialah Kifalah Sdn Bhd, PMBK Sawit Sdn Bhd, Darul Digital Sdn Bhd, Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd dan Kelatan Utiliti & Mubarakan Sdn Bhd.

Berberapa program sedang dijalankan oleh PMBK seperti projek Bandar Baru Tunjung, Madinatul Raudhah, Bazaar Tok Guru dan Kelantan Stonor Tower yang akan memberikan impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini. Disamping itu PMBK melalui 5 anak syarikatnya mempunyai perancangan khusus dalam menjana dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan.

Anak Syarikat PMBK

PMBK Sawit umpamanya yang mengusahakan ladang yang diambil alih dari FELCRA seluas kira-kira lebih 4,000 ekar. Kini dalam proses untuk meluaskan kawasan operasi sawit dan getah kepada 20,000 hektar dalam masa 2 tahun dari sekarang. Jika perkara ini menjadi realiti, PMBK Sawit akan muncul sebagai syarikat yang mempunyai kawasan operasi terbesar di Negeri Kelantan dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan yang besar kepada negeri dan membuka peluang kerja yang baru kepada rakyat Kelantan.

PMBK juga mempunyai anak syarikat yang terlibat dalam kolej animasi, iaitu Darul Digital. Sekarang syarikat ini memfokuskan kepada memberikan pendidikan animasi percuma kepada rakyat dan dalam usaha untuk mebangunkan projek Wi-Fi di Kota Bharu seluas 12km persegi sebagai percubaan, sekiranya projek ini viable dan memberikan prestasi memberangsangkan kita akan melibatkan kawasan liputan yang lebih luas. Pada masa yang sama Darul Digital juga terlibat dalam membina Data Centre (Pusat Data) yang akan dibina di Jajahan Machang. Pusat pengumpulan maklumat ini telah dijalankan di Cyber Jaya, dan pusat ini akan dipenuhi dengan prasarana lengkap dan ianya merupakan yang pertama di Pantai Timur.

Bagi menerokai industri minyak dan gas, PMBK melalui akan membangunkan Independent Oil Terminal (IOT) di Pantai Senok, Bachok dengan fasa pertama akan dimajukan oleh Kumpulan Sukimi melibatkan tanah seluas 50 ekar. Projek ini dianjurkan untuk membekalkan sumber tanaga kepada sektor industri di negeri ini dan mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat.

Kelantan Utiliti & Mubaraakan sebuah anak syarikat PMBK yang terlibat dalam infrastruktur dan utiliti sedang meneroka pengguna tenaga solar dan NGV untuk dilaksanakan dinegeri ini. Ia merupakan resolusi Pelan Tenaga Negeri yang berlangsung pada Jun 2008 lepas.

Walaupun giat dalam membangunkan sektor ekonomi negeri, Negeri Kelantan juga giat menjalankan aktiviti kebajikan rakyat dengan mewujudkan Skim Takaful Kifalah melalui anak syarikat Kifalah Sdn Bhd. Skim ini adalah skim khusus untuk warga emas dab dijalankan sejak setahun yang lalu. Sebanyak RM15 juta telah dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada lebih 100,000 orang warga emas seluruh Kelantan tanpa mengira latar belakang politik, agama dan kaum. Umumnya rakyat Kelantan mengetahui bahawa skim ini telah berjaya membina kasih sayang antara rakyat dan kerajaan.

Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd adalah anak syarikat Negeri Kelantan yang menjalankan aktiviti khusus dalam membangunkan industri bioteknologi di Kelantan dengan visi untuk ”Mengembalikan Kegemilangan Islam Melalai Bioteknologi”. Kini Kelantan Biotech Corp memfokuskan kepada 4 projek utama iaitu penghasilan minyak kelapa dara (VCO), baja bio-organik, kultur tisu dan enzim industri. Sehingga kini produk berasaskan VCO dengan jenama NUTRIFERA sudah memasuki pasaran tempatan, farmasi-farmasi terpilih seluruh Kelantan dan akan memasuki pasaran negara pada tahun depan. Kilang berstatus Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang bernilai lebih RM500,00 di Labok, Machang kini hampir 90 peratus siap. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. merancang untuk memperkenalkan 10 produk baru apabila kilang barunya siap awal tahun depan.

Bagi projek Bio-Organik, pihak Kelantan Biotech Corp mempunyai pelan jangkamasa panjang bagi mengitar semula nutrien hasil daripada sisa buangan pertanian secara tidak langsung ia akan mengurangkan kos operasi kilang, meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Projek tersebut masih diperingkat perbincangan dengan Malaysia Agriculture Hightech Bhd (MyAgri) dan Syarikat Ladang Sungai Terah, syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), kilang itu dijangkakan siap sepenuhnya menjelang tahun 2011 nanti.

Pada Januari, 2006 pihak Kementerian Sains & Teknologi telah meluluskan geran sebanyak RM 1 juta bagi Kerajaan Negeri Kelantan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R & D)bersama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi projek penghasilan produk yang mempunyai potensi komersial melalui tisu kultur dan program komersialisasi pengeluaran enzim industri melalui fermentasi mikrobial sisa pepejal (solid state fermentation).

Pada hari ini hasil R & D yang dijalankan dalam tempoh hampir 3 tahun itu akan dipindahkan kepada Kelantan Biotech Corp. untuk dikomersilkan seterusnya dibangunkan di negeri ini. Kini Kelantan Biotech Corp sudah mempunyai sebuah makmal kultur tisu dan nuseri lengkap di Labok, Machang yang dijangka akan mula beroperasi pada awal tahun 2009 nanti.

Bagi proses komersialisasi hasil penyelidikan enzim industri, pihak kerajaan negeri dengan Kelantan Biotech Corp dalam proses merangka satu pelan strategik dengan bantuan Malaysia Biotech Corporation (MBC) sebuah badan induk bioteknologi di Malaysia bagi membina sebuah kilang enzim swasta pertama di Malaysia di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa. Bagi projek ini, pihak Kelantan Biotech Corp akan cuba mendapatkan status Bio-Nexus dan mendapatkan geran RM2.5 juta dari MBC bagi mengkomersilkan projek tersebut.

Ditulis khas oleh;

Syam Ghaz

Isnin, Disember 15, 2008

Seminar Bioteknologi Negeri Kelantan 2008



Kelantan Biotech Corp. akan menganjurkan Seminar Bioteknologi Dalam Sektor Pertanian Negeri Kelantan 2008.



Tarikh: 21.12.2008 - Ahad

Masa: 8pagi - 5.30pm

Tempat: Dewan Teratai, Kota Darulnaim

Sasaran Peserta: Pelabur, Agensi Kerajaan Swasta, Wakil Parlimen & DUN, IPTA/S, Mahasiswa & Siswazah

Anjuran: Kerajaan Negeri (Melalui JK Exco Pertanian, Indsutri Desa & Bioteknologi), PMBK & Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd.

Antara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah:

I. Agro-Bioteknologi Adalah Satu Perniagaan - Prof Ibrahim, Dekan Fakulti Agro Industri UMK.
II. Pertanian Lestari Kearah Melahirkan Usahawantani - Prof. Dr. Mohd Razi Ismail, Institut Teknologi Pertanian, UPM
III. Pengurusan Tanaman & Teknologi Biji Benih Berkualiti - Prof Maziah, Fakulti Bioteknologi & Biomolekul UPM
IV. Bioteknologi Dalam Sektor Penternakan - Jabatan Haiwan Negeri Kelantan.

Seminar sehari tersebut akan mengupas panjang lebar tentang peluang niaga dan industri baru yang wajar diceburi oleh rakyat Kelantan dalam sektor bioteknologi di Negeri Kelantan dan akan memperkenalkan teknologi baru yang berkaitan bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian di Kelantan.

Shbt2 yang berkelapangan dan ingin menimba ilmu jemputlah datang, tolong bagitau juga shbt2 yang masih belum dapat kerja dsbnya. Sekurangnya dapat input untuk jadi usahawanbiotek pada masa datang.

Sekiranya berminat ingin hadir, sila SMSkan Nama Penuh, IC, Alamat & Email pada saya segera ya. Masuk adalah percuma.

Terima kasih, harap maklum.

Syam Ghaz
Urusetia Penganjur.
013-219 9643/0179676701

p/s; Kertas kerja sehari itu nanti akan saya masukkan dalam ruangan DOWNLOAD KERTAS KERJA untuk sahabat2 yang tidak berpeluang menghadiri seminar itu nanti.

Rabu, Disember 03, 2008

Baru Balik Dari Bangkok... BioAsia 2008

Sekadar perkhabaran berita mengenai diri,saya baru sahaja balik dari Bangkok start 24hb dan pulang balik ke Malaysia 29hb baru2 ni.

Sertai program BioAsia, syarikat kami terpilih dengan 7 syarikat lain untuk wakili Malaysia ke pameran peringkat antarabangsa.

Semasa rusuhan mula berlaku, pada 25hb. kami berada dibandar Bangkok dan rusuhan hanya berlaku di airport.

Kami semua delegasi dari Malaysia terpaksa balik ke Malaysia menggunakan Bas, perjalanan mengambil masa 18 jam untuk sampai Hatyai (dari Bangkok), bermalam disana semalamam dan bertolak pulang ke Kelantan menaiki van selama 7 jam.

Alhamdulillah program ini satu peluang kepada kami untuk tonjolkan negeri Kelantan dipesada Malaysia dan Benua Asia. Malah kami menjadi contoh kepada semua delegasi dari Malaysia kerana ada 'link' serta dapat membantu menyelesaikan masalah pengangkutan dsbnya semua peserta rombongan dari Malaysia hingga berjaya pulang ke tanahair masing2.

Disepanjang program pula (selama 25jam) diselangi dengan pengisian sesama ahli kumpulan kami dan berberapa individu yang berminat untuk turut serta. Perjalanan 25jam dirasakan sementara sahaja.

Sempat singgah di Masjid Kerisik, masjid dimana 30umat Islam ditembak oleh tentera kerajaan Thai hanya sebab mereka dituduh menyebar kesedaran umat Islam selatan Thai untuk bangkit memperjuangkan Islam. Kesan2 tembakkan peluru kereta kebal dan peralatan senjata canggih turut kelihatan. Kami sempat buat solat berjemaah dan berdoa dimasjid tersebut sebelum bertolak pulang.

Susahnya ingin memberikan kesedaran dikalangan masyarakat Islam sendiri disana, mereka semua diancam dengan peluru kereta kebal/meriam/peluru, dibunuh, sembelih dan sekatan ekonomi & politik dll tetapi masih bersemangat ingin meneruskan perjuangan Islam disana.

Kita di Malaysia? baru diancam dengan kesibukan tugas harian, air water canon, pecat dari jawatan, dibuang kerja dll... itu pun rasa dah berat dan takut. Sama2 muhasabah diri. Semoga shbt2 di Selatan Thai terus istiqomah memperjuangkan Islam dan kita semua turut bersemagat waja untuk memperjuangkn Islam kembali di Dunia. Amin.

Satu pengalaman yang menarik dan menguntungkan, walaupun sudah menjangkakan semua perkara tersebut bakal berlaku(ambil alih airport), demi tugas dan tanggungjawab pada agama dan untuk menaikan imej kerajaan Kelantan terutamanya dalam sektor bioteknologi, kami turut serta program tersebut.

Tamat siri Bangkok.

Balik ke Malaysia 29 hb, pada 1 Disember terus naik flight ke UPM (walaupun rumah dimasuki air) kerana ada mesyuarat dengan ICC UPM bagi membincangkan dan membawa balik teknologi yang berkaitan dan menerokai prospek2 baru yang wajar dikomersilkan di Kelantan. Dengan hasrat yang sangat besar iaitu menjadikan Kelantan Jelapang Makanan Negara 2015 nanti dan Kelantan Menerajui Perubahan, InsyaAllah.

2hb Mesyuarat dan 3hb bos kami bertolak ke KL sekali lagi kerana perlu menghadiri bengkel Enzim.

Dan saya diKelantan kena take aver tugasan beliau sementara waktu bagi menyelesaikan urusan mesyuarat Board pada 11 November nanti dan Seminar Bioteknologi Dalam Sektor Pertanian Negeri Kelantan 2008 pada 21 November nanti.

Walaupun dirasakan penat, tidak cukup masa dsbnya, diri ini sentiasa rasa gembira bekerja dengan shbt2 sefikrah dan Kerajaan Islam di Kelantan, rasa 'tangan' Allah sentiasa bersama2 kami. Alhamdulillah.

Doakan kami semua berjaya dan minta maaflah sekiranya ada mesyuarat yang ambo tidak dapat pergi sementara waktu ini, email yang tidak berbalas, telefon yang tidak terangkat dsbnya. InsyaAllah saya janji jika ada masa yang kosong saya akan penuhi dengan aktiviti2 sahabat2 semua.

Wassalam.

Syam Ghaz

p/s; harini get ready untuk balik kg minggu ni bagi membantu mangsa2 banjir di Rantau Panjang, sapo2 nak joint boleh la :) Saya SU Agung Gabungan NGO Kelantan.

p/s; wife saya pesan, AWAS kepada lembu/kambing/binatang korban yang sudah diberikan ubat atau suntikan antibiotik, kesannya anda tidak boleh makan haiwan korban tersebut selama 2 minggu (jadi tak boleh sembelihlah... kalo sembelih juga?? kena tanya Dr manusia pula lah). Saya ada jawapannya, kalu nak tahu lebih lanjut SMS lah ya. Wassalam.