Selasa, Oktober 28, 2008

Kelantan terokai kaedah bioteknologi -Sinar Harian 28 Okt 2008

Tumpat – Kerajaan Negeri terus mengorak langkah dalam merealisasikan konsep membangun bersama Islam apabila termeterai perjanjian pemindahan teknologi bioteknologi dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di Bio Malaysia 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, perjanjian itu adalah satu usaha Kerajaan Negeri membangunkan teknologi bioteknologi di negeri dan negara ini.

“Perjanjian tersebut melibatkan pemindahan teknologi bagi pembangunan proses fermentasi dalam bentuk pepejal menghasilkan produk bernilai komersial menggunakan sisa pertanian sebagai bahan asas.


Teknik kultur In Vitro digunakan bagi menghasilkan secara besar-besaran benih,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, menerusi perjanjian tersebut, kerajaan negeri melalui anak syarikat Perbadanan Menteri Besar, Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd akan mengkomersialkan penghasilan enzim industri untuk pasaran tempatan dan luar negara serta menghasilkan anak pokok pisang dan pokok hiasan secara besar-besaran.

”Penghasilan nilai dalam bioteknologi mempercepatkan sains ke pasaran termasuk peluang dalam penemuan, teknologi baru, modal, keusahawanan dan membina perniagaan bioteknologi.

”Kerajaan Negeri diwakili saya, manakala USM, Naib Canselornya, Prof Tan Sri Datuk Dzulkfli Abdul Razak sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Che Abdullah berkata, persidangan berkenaan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan ia merupakan kemuncak kepada persidangan serta pameran bioteknologi di Malaysia.

”Persidangan ini adalah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Perbadanan Biotechnology Malaysia (BiotechCorp) dengan sokongan Pusat Maklumat Bioteknologi Malaysia (MA-BIC) dan Persatuan Bio-Industri Malaysia (MBIO).

”Tema persidangan kali ini ialah ”memperkukuhkan penghasilan nilai dalam bioteknologi” dan acara ini menjadi landasan kepada semua penyelidik untuk bertemu dan menjalin rangkaian serta membina usaha sama penyelidikan dan pertukaran maklumat,” katanya.

Turut hadir pada majlis penuh bersejarah itu ialah Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Mohd Azamli Jamaluddin, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar, Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman dan Pengurus Kelantan Biotech Corporation, Zamakhshari Muhamad.

Artikel Terkait