Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
SebaHAgian sahaja, terutama dalam sektor pertanian & pembangunan usahawan DI KELANTAN.
Pembangunan Sektor Pertanian
Pembangunan sektor pertanian masih merupakan satu daripada strategi utama bajet negeri Kelantan tahun 2008. Ini kerana sektor pertanian memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Kelantan. Sektor ini merupakan sektor yang diceburi oleh sebahagian besar rakyat terutama golongan miskin. Sektor ini akan terus diperkukuhkan bagi mempastikan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negeri dicapai selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara Ketiga.
Sebagai sektor utama ekonomi negeri ini, tumpuan akan terus diberi bagi meningkatkan lagi daya saing sektor ini. Kerajaan Negeri akan meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian, mempergiatkan usaha dalam pengeluaran bahan makanan berkualiti dan produk halal. Permintaan makanan domestik yang terus meningkat dan potensi pasaran eksport yang luas merupakan asas bagi melonjakkan prestasi sektor pertanian. Ini selaras pula dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan sektor pertanian sebagai agen ketiga penjana pertumbuhan ekonomi negeri. Disamping itu juga, dengan adanya tekanan yang konsisten dalam sektor pertanian, ia akan dapat merealisasikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri telah menyusun pakej program-program seperti; Mempertingkatkan Pembangunan Pusat-Pusat Pertanian, Pembangunan Tanah Terbiar, Pembangunan Industri Padi, Pembangunan Industri Pelbagai Komoditi, Pembangunan Industri Sayur-sayuran dan Buah-buahan, Pembangunan Industri Hiliran serta Pembangunan Usahawan. Menerusi pakej program tersebut, Kerajaan Negeri berharap dapat mencapai objektif bagi melahirkan golongan petani yang berdikari di samping meningkatkan daya pengeluaran bahan-bahan makanan serta mencapai tahap pengeluaran produk pertanian yang berkualiti dan selamat.
Pada tahun 2008, program pembangunan IKS akan menekankan kepada menaiktaraf/projek baru, pembangunan kraf dan pembangunan usahawan IKS. Program ini bertujuan untuk menambah bilangan usahawan di negeri ini serta mengoptimumkan penggunaan hasil pertanian untuk diproses. Pemprosesan hasil pertanian ini bukan sekadar meingkatkan nilai tambah kepada pendapatan usahawan malahan dapat mengurangkan masalah lambakan hasil pertanian terutama kepada hasil-hasil yang bermusim.
Justeru itu, dalam bajet 2008 sejumlah RM 2.20 juta diperuntukkan di bawah Jabatan Pertanian Negeri bagi mengurus pelbagai program ke arah memajukan sektor pertanian di negeri ini. Disamping itu peruntukan prasarana berkaitan pertanian yang turut diperuntukkan dibawah lain-lain agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri dan Pejabat Pembangunan Negeri. Antara program yang turut diberikan peruntukan ialah Jaringan Pemasaran Produk Desa, Projek Biotek, Bumi Hijau dan Program Khas Pertanian Siswazah dengan dana sebanyak RM 1.40 juta.
Menaiktaraf Hidup Nelayan
Sektor perikanan di Kelantan berperanan besar sebagai salah satu sektor penyumbang bagi bekalan protin kepada penduduknya serta menyedia peluang kerja kepada 5,000 penduduknya. Usaha-usaha membela golongan nelayan akan diteruskan dengan cara meningkatkan taraf hidup mereka. Sejumlah RM 504 ribu disediakan bagi tujuan melaksanakan program-program seperti Penyediaan Infrastruktur Nelayan, Galakan Pemindahan Teknologi Peralatan Perikanan, Projek Asuhan Benih Ikan Air Tawar, Galakan Teknologi Pengendalian Ikan dan lain-lain. Beberapa program yang diperkenalkan pada tahun ini seperti Pemulihan Semua Sangkar Terbiar di Taman Kekal Makanan Negara serta Pembangunan Tukun Tiruan akan terus dilaksanakan pada tahun 2008.
Kerajaan juga akan menggalakkan sektor ternakan ikan/akuakultur untuk menampung bekalan ikan bagi mengimbangi permintaan sumber perikanan yang semakin meningkat. Sehingga kini, seluas 312 hektar tanah telah dibangunkan untuk aktiviti akuakultur iaitu kira-kira 26 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penglibatan seramai 2,000 orang penternak. Oleh itu Kerajaan akan memberi galakan berterusan kepada para pelabur untuk menceburi bidang akuakultur terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti di bawah Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan Negara selain menggalakkan penglibatan penduduk tempatan menceburi aktiviti tersebut.
Kerajaan juga akan memberi perhatian bagi mempastikan pembangunan industri perikanan disokong dengan aktiviti nilai tambah bagi menjamin kelestarian industri berkenaan. Justeru itu, industri pemprosesan berasaskan produk perikanan seperti keropok, budu, bilis, ikan kering, bebola ikan dan sebagainya yang kini memberi peluang kepada kira-kira 1,000 orang penduduk tempatan dan berpotensi untuk dimajukan dan dikembangkan pada masa hadapan.
Pembangunan Industri Perternakan
Pembangunan industri perternakan juga akan diberi keutamaan oleh Kerajaan dalam bajet 2008 bagi memenuhi keperluan sumber makanan. Satu peruntukan berjumlah RM 1.20 juta telah disediakan di bawah Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk melaksanakan rancangan operasi induk lembu; rancangan pengembangan lembu pedaging, rancangan pembakaan dan lain-lain. Disamping itu, program lembu fidlot akan terus dilaksanakan setelah kedua-dua program perintis di Jajahan Machang dan Gua Musang mencapai kajayaan yang memuaskan. Kerajaan juga telah mengadakan program baru iaitu Jihad Ternak dengan peruntukan awalan berjumlah RM 300 ribu yang akan memberi tumpuan kepada penternakan Kambing Baka Jamnapari. Program ini bertujuan untuk menggalakan rakyat khususnya golongan belia menceburi bidang sub sektor perternakan. Sekiranya program ini mencapai sasaran yang ditetapkan, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan program ini meliputi jenis ternakan lain termasuk lembu dan kerbau.
PEMBANGUNAN USAHAWAN
Kerajaan Negeri juga akan memberi penekanan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan program pembangunan usahawan khususnya usahawan kecil yang baru memulakan aktiviti perniagaan. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada enam aspek utama iaitu pembudayaan, latihan keusahawanan, peluang perniagaan, premis perniagaan, pembiayaan dan pemasaran. Pada tahun 2008, sebanyak RM 500 ribu disediakan di bawah program Galakan Perdagangan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan. Manakala RM 500 ribu lagi disediakan untuk Infrastruktur Usahawan dan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di bawah Jabatan Pertanian serta peruntukan RM 1.2 juta disediakan bagi Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan bagi tahun 2008. Ini termasuk satu dana khas berjumlah RM500 ribu diperuntukkan bagi pembinaan gerai-gerai kepada peniaga-peniaga kecil.
Berita lanjut sila klik; Bajet Rakyat