Rabu, Disember 24, 2008

Kelantan perkasa sektor pertanian sejak 1990 - MB

Tags


KOTA BHARU, 22 Dis (Akhbar Hrkh) - Kelantan akan memiliki sebuah kilang bagi memproses kelapa dara serta sebuah makmal untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan bidang pertanian.

Pembinaan kilang tersebut membabitkan kos sebanyak RM500,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasakan bidang pertanian yang menjadi keutamaan sejak 1990.

Katanya, perkembangan bioteknologi dalam sektor pertanian akan dapat meningkatkan jumlah hasil ketika penggunaan tanah semakin terhad sekarang.

"Kelantan berhasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai jelapang makanan negara sepenuhnya pada 2015. Dan ia memerlukan transformasi dalam sektor pertanian," katanya pada seminar bioteknologi di sini, semalam.

Perasmian program itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada majlis itu turut diadakan majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman antara Kelantan Biotech Corp. Sdn Bhd dan kerajaan negeri dengan Universiti Putra Malaysia (UPM)

Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof Dato Dr Nik Mustafa Raja Abdullah, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shkori Mohamed, Pengarah UPEN, Haji Azamli Jamaluddin dan ahli Lembaga Pengarah Biotech Corp Sdn Bhd, Haji Zulkifli Mamat.

Selain itu, Pengarah Institut Pusat Inovasi dan Pengkomesilan UPM, Prof Dato Dr Muhamed Shariff Muhamed Din dan Pengurus Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd, Zamakhshari Muhamed.

Sementara itu, Menteri Besar berharap rakyat Kelantan mengambil peluang sepenuhnya dengan memanfaatkan potensi besar bidang bioteknologi.

Menurutnya Kelantan mengekalkan status sebagai negeri pertanian sejak awal lagi biar pun negeri lain memberi tumpuan kepada bidang perindustrian.

Bagaimanapun katanya, selepas berlaku krisis makanan di seluruh dunia, barulah banyak pihak termasuk kerajaan Malaysia memberi tumpuan utama kepada sektor pertanian.

"Kerjasama amat diperlukan dari mereka yang pakar dalam bidang bioteknologi bagi menjadikan Kelantan berjaya dalam bidang pertanian," ujar beliau.

Pembentangan kertas kerja pada seminar itu disampaikan Dekan Falkuti Agro Industri dan Sumber Asli UPM, Prof Dr Ibrahim Che Omar, Prof Dr Mohd Razi Ismail (UPM), Dr Maziah Mahmood (UPM) dan Pegawai Veterinar Kanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Abdul Halim Mohamad. - mj _

Artikel Terkait