ARTIKEL dari Harian Metro: 1 November 2009 @ Clik: SESETENGAH pengamal perubatan alternatif menyarankan pengambilan makanan organik bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan.
Sejak konsep ini mula diperkenalkan, ramai cuba memasukkannya ke dalam diet harian, meskipun harga sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan serta produk makanan organik jauh lebih mahal daripada makanan bukan organik.
Apa itu makanan organik? Ia makanan yang tidak tercemar bahan kimia, termasuk baja kimia, racun serangga, antibiotik, hormon dan sebagainya atau tidak mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan manusia (seperti pengawet, pewarna dan perasa).
Penghasilan makanan organik (daripada ditanam hinggalah ia diproses) tidak mencemarkan alam sekitar serta tiada ubah suai genetik.
Pertanian organik menggunakan kompos sebagai baja semula jadi dan tidak membabitkan bahan yang merosakkan alam. Meskipun ada pihak mendakwa makanan organik mengandungi lebih khasiat, sehingga kini tiada kajian dapat memberi bukti kukuh untuk menyokong dakwaan ini.
Malah Jabatan Pertanian Amerika Syarikat yang memberi pensijilan kepada produk organik juga tidak membuat dakwaan bahawa makanan organik lebih berkhasiat daripada bukan organik.
Daripada segi rupa dan kualiti, makanan organik mempunyai kualiti setanding makanan bukan organik atau konvensional. Namun ia berbeza daripada bagaimana dihasilkan, diproses dan dikendalikan.
Jika anda perhatikan, makanan organik lebih cepat rosak kerana tidak dirawat menggunakan lilin atau bahan pengawet. Rupa fizikalnya juga mungkin tidak secantik makanan bukan organik; namun secara umumnya kelihatan lebih kurang sama dengan sumber makanan yang ditanam secara konvensional.
Pertanian konvensional menggunakan racun serangga untuk melindungi hasil pertanian daripada kulat, serangga perosak dan penyakit. Apabila petani menyembur racun serangga, sisa racun tertinggal pada kulit atau permukaan luar hasil pertanian.
Sesetengah orang membeli makanan organik untuk mengehadkan pendedahan terhadap racun serangga. Bagaimanapun, selagi penggunaan racun ini mengikut had dan peraturan ditetapkan, hasil pertanian selamat dimakan asalkan ia dicuci bersih.
Daripada segi rasa, sesetengah orang mendakwa makanan organik lebih sedap, tetapi ada juga yang mendapati tiada perbezaan dengan makanan bukan organik. Rasa adalah perkara subjektif dan ia berbeza antara individu.
Namun tidak kira sama ada anda membeli makanan organik atau bukan, pilih yang segar kerana sememangnya lebih sedap dan menyelerakan.
Antara kebaikan makanan organik ialah:
Mengurangkan pendedahan kepada racun serangga, hormon dan antibiotik
Tidak mencemarkan alam sekitar seperti sungai dan tanah
Tanaman organik dapat menahan lebih banyak karbon di dalam tanah
Mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera
Memupuk diet dan pemakanan sihat
Makanan organik tidak hanya merujuk kepada sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia juga membabitkan hasil ternakan seperti ayam, itik, lembu dan kambing. Daripada sini, timbul pula saranan mengambil produk ternakan organik, termasuk produk tenusu.
Setiap jenis susu haiwan mengandungi nutrien yang khas dan sesuai untuk anaknya. Susu badan adalah makanan yang sangat unik dan lengkap untuk bayi.
Komponen susu badan berubah-ubah mengikut keperluan bayi, sesuai dengan peningkatan umurnya. Ia bukan saja mengandungi zat, tetapi membekal imunisasi kepada bayi bagi melawan penyakit.
Susu badan adalah jawapan terbaik untuk bayi yang mengalami masalah alahan pada protein susu lembu (CMPA). Susu mengandungi lebih 30 bahan protein, karbohidrat atau gula, lemak, vitamin, mineral dan air.
Dalam kes CMPA, bayi alah kepada protein yang ada dalam susu lembu, menyebabkan mereka muntah dan cirit-birit setiap kali disusukan.
Dianggarkan tiga peratus kanak-kanak Asia mengalami masalah alahan terhadap protein susu lembu. Menurut Pakar Pediatrik, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Choy Yew Sing, tiada rawatan terhadap kanak-kanak yang menghidapi alahan kepada protein susu lembu dan langkah utama untuk menanganinya ialah mengelak pengambilan susu lembu dan menggantinya dengan makanan yang bebas protein susu lembu.
Kira-kira 30 peratus kanak-kanak Malaysia mengalami masalah alahan dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan mereka dan makanan paling lazim menyebabkan masalah alahan seperti susu lembu dan telur ayam.
Ini sebabnya wanita disaran memberi susu badan kepada bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan dan lebih baik jika dapat diteruskan sehingga anak mencecah usia 12 bulan.
Perbandingan susu ibu dan susu lembu
Susu ibu — Kaya mineral seperti iodin, zat besi, fosforus dan magnesium; mengandungi lesitin dan taurina (untuk perkembangan otak bayi); tidak mengandungi laktosa; struktur protein adalah ringkas, kecil dan boleh dianggap sebagai dadih lembut yang mudah diurai dan dihadam.
Susu lembu — Kurang iodin, zat besi dan fosforus; ia bertujuan menggandakan berat badan anak lembu [pada tiga bulan pertama tetapi perkembangan otak anak lembu didapati lambat berbanding bayi yang diberi susu ibu. Ia mengandungi laktosa dan kasein yang bergantung kepada enzim penghadaman khusus untuk mengurainya kepada molekul kecil. Protein dalam susu lembu membabitkan kasein yang besar, keras, tebal dan sukar diurai dan dihadam.
Untuk mereka yang berhasrat mengamalkan pemakanan organik
Perubahan segi pemikiran dan tabiat pemakanan:
Mengurangkan pengambilan makanan tiga kategori, iaitu: daging, produk tenusu dan telur secara beransur-ansur. Tiga kategori ini mengandungi protein sumber haiwan yang membawa lebih banyak sisa bahan kimia dan racun. Pengambilan makanan sumber haiwan berlebihan menyebabkan badan kita menjadi lebih berasid dan keasidan ini melemahkan sistem keimunan badan
Nutrien (lemak/protein) yang terkandung dalam daging dan telur boleh digantikan dengan bijirin dan kekacang
Susu tenusu boleh digantikan dengan susu berasaskan tumbuhan seperti bijian (susu oat) dan kekacang (susu soya)
Campurkan satu bahagian beras putih dengan beras perang (makanan utama) dengan sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai makanan sampingan dalam setiap hidangan. Cuba ambil nasi beras perang. Kurangkan makan nasi putih. Jika tidak dapat mengubahnya serta-merta, anda boleh bermula dengan menambahkan beras perang ke dalam beras putih. Dalam setiap hidangan pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya satu hidangan salad, sayur mentah atau ulam. Lebih baik jika dapat meningkatkan pengambilan sayur dan buah kepada lima hidangan sehari
Kebaikan susu berasaskan tumbuhan
Kanak-kanak yang mengalami masalah CMPA boleh diberi susu formula alternatif rumusan kacang soya, susu rumusan hidrolisis atau rumusan asid amino.
Susu rumusan hidrolisis dan susu rumusan amino asid berkesan dan mempunyai kadar toleransi baik di kalangan kanak-kanak yang menghidap alahan kepada protein susu lembu.
Sejak 1909 lagi susu rumusan kacang soya menjadi alternatif terbaik kepada kanak-kanak CMPA kerana kes alahan terhadap soya tidak sekerap alahan kepada protein susu lembu.
Bagaimanapun dianggarkan 10 hingga 35 peratus daripada kanak-kanak yang menghadapi alahan kepada protein susu lembu juga dilaporkan tidak dapat menerima protein soya. Dalam kes ini cara terbaik ialah memberi susu badan.
Daripada segi nilai pemakanan, susu rumusan berasaskan soya kaya dengan nutrien penting yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan sihat.
Untuk membuat susu kacang soya, kulit kacang soya dibuang kerana mengandungi sedikit toksik di mana kandungan purinnya tinggi, berasid, mudah menyebabkan masalah penghadaman. Oleh itu kacang soya yang dikupas kulit dapat memaksimumkan kebaikannya dan mengurangkan keburukannya.
Kacang soya dikenali sebagai ‘daging tumbuhan’ mengandungi sumber protein sebanyak 30 peratus iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada daging.
Ia mengandungi asid amino perlu dan dianggap setanding dengan kandungan protein yang ada pada telur, ikan dan daging tetapi lebih mudah diserap badan.
Pengambilan 250 gram kacang soya sehari dapat menurunkan enam peratus kandungan kolesterol tidak baik (LDL). Kebelakangan ini lebih kurang 300 jenis laporan penyelidikan menyatakan kacang soya dapat mengurangkan penyakit kardiovaskular.
Selain itu kacang soya mengandungi Isoflavones yang juga dikenali sebagai hormon tumbuhan kerana strukturnya hampir serupa dengan struktur estrogen. Ia dianggap dapat mencegah sindrom putus haid tanpa memberi kesan sampingan.
Atas kesedaran peri pentingnya produk organik dijadikan makanan kesihatan kita semua, kini Syam Ghaz dan rerakan lain sedang bertungkus lumus utuk menghasilkan produk kesihatan yang semulajadi, makanan ternakan berasaskan herba & organik, mulakan projek ayam herba, memperkenalkan benih rumput Napier India IKN091 sebagai alternatif kepada dedak ruminan yang ada dipasaran skrg, memulakan projek membuat baja organik dan tanaman pisang berangan secara 100% organik bagi menjamin kesihatan kami dan peminat2 produk organik di Kelantan.
k, Selamat membaca.