Selasa, September 25, 2007

Tazkirah Galakan Bertani - Tuan Guru Menteri Besar Kelantan

Tags

Allah berfirman:

“ Apakah kamu tidak memperhatikan bahawa Allah menurunkan air dari langit, diatur menjadi sumber air di bumi dan ditumbuhkan dengan air tersebut tanam-tanaman yang bermacam-macam warna. Lalu ia menjadi kering dan kamu melihat ia kuning kekuningan, kemudian dihancurkan berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pengajaran bagi orang yang berfikir.” [Az-Zumar: 21]


Bidang pertanian adalah satu bidang yang mulia dalam Islam.
Dalam al-Quran terdapat 200 ayat yang membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan pertanian, dan Nabi sendiri pernah bersabda yang bermaksud:

“ Bagi orang Islam yang menyemai biji-bijian atau menanam sesuatu tanaman, jika ia dimakan oleh burung atau binatang ternakan atau dicuri manusia ia akan memperoleh pahala sedekah.”

Begitulah mulia dan beruntungnya orang yang rajin bercucuk tanam, setiap hasil yang dikeluarkan dari tanaman mereka walaupun tidak dapat dirasai atau dinikmati oleh dirinya sendiri, kerana dimakan tupai, lembu, kerbau ataupun dicuri oleh manusia lain namun tuannya tetap mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Ini bermakna setiap usaha kita berkebun dan bercucuk tanam pada bila-bila masa dan keadaan sekalipun ia tidak akan membawa kerugian kepada kita. Oleh itu tidak ada sebab kenapa kita sebagai orang Islam tidak mahu atau malas untuk berkebun dan bercucuk tanam sehingga membenarkan tanah-tanah kita dipenuhi semak samun yang tidak berfaedah dan bermanafaat. Bahkan memalukan negara bila dilihat oleh pelancong barat dan timur yang telah mengusahakan bersungguh-sungguh bumi mereka.


Dari sudut ekonomi, kegiatan berkebun dan bertani hari ini telah dapat memberikan pulangan ekonomi yang banyak kepada pengusahanya. Kerana harga buah-buahan dan sayur-sayuran sekarang ini agak tinggi dan boleh memberikan pendapatan yang lumayan.


Cuba kita lihat bagaimana rakyat negeri lain khusunya orang Cina, mereka menjadi seorang yang kaya raya dengan hanya bercucuk tanam. Kadang-kadang mereka ini tidak memiliki tanah sendiri pun, mereka bertani di atas tanah yang disewa atau tanah-tanah kerajaan seperti di bawah talian kabel elektrik milik TNB, tetapi disebabkan oleh kesungguhan mereka, mereka berjaya membina kekuatan ekonomi mereka.


Tabiat kita orang Melayu yang suka bercucuk tanam hanya sekadar cukup makan patut segera dihapuskan. Kerana ia bukan sahaja merugikan diri sendiri bahkan Negara kerana terpaksa mengimport sayuran dan buahan dari luar untuk keperluan rakyat. Tabiat seperti ini tidak selari dengan kehendak Islam yang mahu umatnya bercucuk tanam sehingga dapat mengeluarkan zakat darinya. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Makanlah dari buahnya yang bermacam-macam itu bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya dihari memetik hasilnya dengan keluarkan zakatnya.”


YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Negeri Kelantan


p/s: Petikan tazkirah yang disampaikan beliau dalam Buletin Misi Bumi Hijau.

Artikel Terkait